Karnival Gaya Hidup Digital PI Maxis Zon Kuching 2015
20 Disember 2015 | Aktiviti Terkini
Pada 19 Disember 2015 yang lalu telah berlangsungnya Karnival Gaya Hidup Digital PI Maxis Zon Kuching 2015 di Dewan Serbaguna Telaga Air dan Pusat Internet Kampung Telaga Air bermula 8:30 pagi sehingga 4:30 petang. Karnival ini telah dianjurkan bersama oleh 10 buah Pusat Internet di bawah seliaan maxis dari daerah Kuching, Bau dan Lundu. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan dengan penyertaan komuniti setempat dan ahli PI dari Bau dan Lundu serta beberapa agensi termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Sarawak, Maxis Mobile Services Sdn. Bhd., Jabatan Kesihatan Bahagian Kuching, Kolej Komuniti Kuching, Sidma College dan Yayasan Salam Malaysia. Dianggarkan seramai 250 orang pengunjung telah datang ke Karnival Gaya Hidup Digital ini. Karnival ini telah dimulakan dengan aktiviti Zumba yang dikendalikan oleh Ahli PI Kampung Serasot, Bau. Selain itu, antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan termasuklah pendaftaran keahlian PI secara percuma, ICT explorace, pertandingan poster Klik Dengan Bijak, pertandingan video Pusat Internet, pertandingan Mobile Photography, Sukaneka Keluarga, pameran agensi, gerai jualan, kempen derma darah dan saringan kesihatan serta pendaftaran Maxis e-Kelas yang bakal diadakan bermula sesi persekolahan 2016. Terdapat juga persembahan oleh kumpulan buskers PI Kampung Pandan sepanjang acara ini berlangsung. Majlis penangguhan karnival ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N4 Pantai Damai. Ketibaan Yang Berhormat telah disambut oleh paluan kompang oleh Kumpulan Wira Warisan dari Lundu. Majlis telah diserikan dengan persembahan silat oleh Ahli PI Kampung Telaga Air dan persembahan tarian tradisional oleh Ahli PI Kampung Stungkor Baru, Lundu. Hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan turut disampaikan semasa majlis penangguhan ini. Semoga program sebegini dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti yang terlibat.
Keratan akhbar Utusan Borneo bertarikh 22 Disember 2015.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: